Dato’ Adissadikin Ali Presiden Baharu AIBIM

Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah melantik Dato’ Adissadikin Ali selaku presiden baharu bagi penggal 2018/2020, menggantikan Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid. Dato’ Adissadikin Ali merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad telah dilantik sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan AIBIM kali ke-23 yang telah berlangsung pada 16 Mei 2018. Beliau turut mengetuai Majlis Tertinggi baharu AIBIM yang dianggotai oleh Affin Islamic Bank, AmBank Islamic, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, CIMB Islamic Bank, HSBC Amanah, Maybank Islamic, MBSB Bank dan RHB Islamic Bank.

Dato’ Adissadikin Ali dalam ucapannya turut menzahirkan rasa keterujaannya dan berterima kasih kepada ahli-ahli AIBIM atas kepercayaan sebagai presiden baharu AIBIM. Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan usaha membawa AIBIM ke peringkat yang lebih tinggi di dalam industri kewangan Islam dengan kerjasama erat antara ahli-ahli AIBIM. Tambah beliau lagi, AIBIM yang dianggotai sebanyak 26 ahli bank akan menganjurkan Global Islamic Finance Forum 2018 (GIFF2018) pada 3 & 4 Oktober dan akan memastikan segala perancangan untuk GIFF2018 dapat dilaksanakan serta  berusaha untuk menarik lebih ramai penyertaan bagi penganjuran kali ini. Menurut beliau lagi, GIFF2018 adalah satu platform penting dalam mempromosikan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia terutama kepada delegasi luar negara.

Pada masa yang sama mantan presiden AIBIM, Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid dalam kenyataannya juga mengharapkan agar pimpinan baharu AIBIM dapat bekerjasama dalam usaha menerajui AIBIM di masa hadapan sekaligus memacu perbankan dan kewangan Islam ke peringkat yang lebih baik. Mesyuarat Agung Tahunan AIBIM kali ke-23 itu turut memperkenalkan nama dan logo baharu AIBIM, iaitu Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia).

Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid juga telah menyampaikan hadiah kepada pemenang AIBIM New Logo Design Contest, YM Raja Zilatun Nazwa Raja Azie, warga kerja Bank Islam. Pertandingan yang berlangsung dari 24 November hingga 8 Disember 2017 telah menerima lebih daripada 100 penyertaan terdiri daripada warga kerja bank-bank ahli AIBIM.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi AIBIM di 03-20268002/3.

– TAMAT –


Tentang AIBIM

Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia ( AIBIM ) telah ditubuhkan pada tahun 1996. Pada masa ini, AIBIM mempunyai keahlian seramai 26 bank anggota. Organisasi ini menggalakkan sistem perbankan Islam yang kukuh di Malaysia; mewakili kepentingan ahli di dalam dan di luar negara; memberikan nasihat dan bantuan kepada para ahli dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, serantau dan global; menyelaras inisiatif pembangunan modal insan, serta meningkatkan kesedaran awam.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Ratna Sha’erah Kamaludin
Pengarah, AIBIM
Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel: +603-2026802/8003

Published in Latest Posts